Tuesday, 1 September 2015

Sikit-sikit lama-lama jadi bukit

Pepatah 'sikit-sikit lama-lama jadi bukit' merupakan kata penuh pengharapan bagi diriku yang mudah bosan dan berputus asa dalam mencapai impian dalam penulisan. 'Aku ingin menulis' sering kali aku teriakkan pada diri sendiri, tapi masih aku gagal meraihnya, bukan cuma itu aku juga gagal memulakannya.

Punca utama bagi masalahku ini ialah aku, diriku sendiri yang selalu berharap agar tulisan yang dicoret terus sempurna tanpa cela, terus panjang hingga habis tinta pena yang kupunya. Kerana itu, aku berharap tulisan-tulisan ku selepas ini, yang aku suguhkan untuk diriku sendiri lebih ringkas tapi bermakna. Ini sebagai salah satu cara agar aku terus menulis dan tidak kecewa.

Semoga, ALLAH permudahkan urusan dalam penulisan ini kerana aku berharap tulisan-tulisanku ini akan menjadi peringatan kepada diriku ketika aku lupa, ketika aku lalai tentang hakikat kehidupan.

'Teruslah Berusaha' buat diriku. 

Saturday, 16 August 2014

Duka yang Secebis Cuma

"Ya ALLAH, jika ujian lebih mendekatkan aku pada-MU, maka aku redha. Jika nikmat yang KAU kurniakan kepadaku akan membuatku lupa pada-MU, maka jauhkanlah ia dariku"

Sebait doa yang sangat ringkas namun membawa maksud yang mendalam. Sebait doa inilah yang sering aku panjatkan kepada Tuhanku, ALLAH. Sangat mudah dilafazkan, namun amat sukar diamalkan.

'Ketika ujian ALLAH betul-betul menyapaku, lantas mengapa aku harus berakhlak seperti tidak berTuhan?' jerit hatiku.

'ALLAH, ALLAH, ALLAH...' tetaplah dihatiku. Ujian yang kuhadapi secebis cuma jika ingin dibandingkan ujian yang menimpa Gerakan Islam yang kucintai ini, ujian yang menimpa mereka di Ghazza sehingga bermandi darah, ujian yang menimpa mereka di Rohingya kerana menjaga agama.

ALLAH, kuharapkan ujian yang melanda menatijahkan cinta yang semakin besar pada-MU.

Apalah erti dukaku berbanding duka mereka. Dukaku secebis cuma. Semoga ALLAH Redha kepada kita semua.

Sunday, 6 July 2014

Saat Kegagalan Menyapa...

"Dia seorang yang tidak boleh menerima kegagalan" komen seseorang yang baru mengenaliku buat pertama kalinya yang biasanya dianggap sebagai 'first-impression'. Terkebil seketika aku dibuatnya kerana tidak percaya dan ingin sahaja aku ceritakan kepadanya 'aku pernah gagal, pernah menangisinya, dan aku sudahpun bangkit darinya, itu bukti aku mampu menerimanya!'. Aku diam dan tiada yang perlu diperjelaskan.

Sekali lagi ketika ujian itu datang menyapa, aku seakan telahpun bersedia. Yang menyapaku kali ini bukanlah kegagalan menurut kefahaman awam, lebih tepatnya cukup-cukup makan di saat banyak di antara sahabatku yang terpaksa mengulang subjek tersebut.

Ketika aku melihat keputusan ujianku, aku merasa menjadi manusia biasa. Kelegaan yang entah datangnya dari mana. Terdetik dihatiku 'kau manusia, bisa salah'. Aku tersenyum menatap hasil usahaku. Walau tidak seperti biasanya namun cukup membuatku merasakan aku manusia biasa yang masih perlu belajar dan berusaha.

Gagal sekali bukan bermakna gagal selama-selamanya. Jika sembilan kali aku jatuh maka aku akan tetap bangkit untuk kali yang kesepuluh. Kegagalan ini setidak-setidaknya telah memberi warna yang berbeza dalam kanvas cerita hidupku dan semoga aku menjadi insan yang mengambil pelajaran untuk setiap yang terjadi di dalam kehidupan ini. Ameen.

2014: Tahun Sengsara Rakyat

“Jika tak sanggup silakan pergi”
Kalam pak menteri jadi hikayat,
Kos sara hidup melambung tinggi,
2014: Tahun Sengsara Rakyat.

Sudah tersepit hidup merempat,
Kita diseru mengenang jasa,
Diminta jimat, rakyat berjimat,
Apa peranan pihak berkuasa?

Digadai harta dijual tanah,
Bagi menampung kurangnya dana,
Orang kaya semakin mewah,
Orang miskin papa kedana.

Jangan ditunggu menjadi mayat,
Baru disedar derita raga,
Himpunan TURUN untuk rakyat,
Tanda protes kenaikan harga.

Menangis kita, tersenyum mereka,
Memikirkan barang untuk dibeli,
Menjadi saksi Dataran Merdeka,
Bukan rakyat untuk dibuli.

Friday, 27 December 2013

Anatara Akaun dan Dakwah

Siapa kata perakaunan ini merupakan ilmu yang asing dengan agama?? Sedangkan Luca Pacioli yang dikatakan bapa perakaunan merupakan orang yang taat dengan agamanya. Maka, aku juga akan mencintai bidangku ini dan kuharapkan akan mampu menyumbang sesuatu buat Islam tercinta.

Ketika sedang rancak membuat latihan, tiba-tiba terlintas di benakku persamaan antara perakaunan dan dakwah. Sangat menarik untuk diteliti lebih mendalam lagi.

Dalam perakaunan kita akan 'treat' aset, liabiliti dan ekuiti dengan cara yang berbeza. Tidak sama antara satu dengan yang lain. Begitu juga dengan dakwah, pendekatan yang akan digunakan perlu berbeza jika kita berdepan dengan mad'u yang berbeza. Sebagai contoh, jika kita berhadapan dengan insan yang sudahpun memiliki asas-asas agama, kaedah berbentuk peringatan perlu diperbanyakkan. Manakala bagi mereka yang tiada asas agama, kaedah menyampaikan, memaklumkan perlu diutamakan.

Indahnya dunia jika kita melihat dengan kaca mata akhirat. Kerana kita yakin dunia ini ladang, sedangkan akhirat tujuan. Perakaunan, semoga menjadi ladang yang menguntungkan di dunia dan akhirat buatku dan insan-insan di sekitarku.

DebitKredit DosaPahala

Thursday, 26 September 2013

Kerana kami pelajar akaun..

Perbualan antara aku dan anak usrahku yang kebetulan sama kursus pelajaran denganku..

"Dik, sepanjang kita belajar akaun, apa yang adik rasa perlu diperbaiki dalam bidang ini?"

"Apa kak?, ada yang perlu diperbaiki lagi ke?"

"Huhu, sebenarnya akak rasa serba salah bila kita rekod 'interest' dalam akaun kita, letaklah nama apa-apapun, interest ke bunga ke, tambahan ke, maksud yang sebenarnya ialah riba."

"Aah la kak"

"Sebab itu, kita mesti belajar bersungguh-sungguh. Kita perlu ada ilmu untuk memperbaiki sistem ini."

"Betul tu kak, jom kita belajar bersungguh-sungguh, fighting!!!"

Kerana kami pelajar akaun, kami perlu pakar dalam bidang kami. Buat pelajar agama, kedoktoran, engineering dan lain-lain, berusahalah menjadi pakar dalam bidang masing-masing, supaya mampu menjadi rujukan ummat.

Kerana kami pelajar akaun (^^,)(^_^)

Langkah awal.. Bismillah


بسم الله الرحمن الرحيم
"Dengan Nama ALLAH yang Maha Pengasih, lagi Maha Penyayang"

Menulis.. Menulis.. Menulis.. ALLAH istiqomahkanlah aku untuk terus menyampaikan dan mengingatkan tentang diri MU. Untuk aku, dia dan mereka. Semoga bermanfaat dunia dan akhirat.

aku tahu tiada insan yang lahir-lahir terus berlari,
maka aku mulakan langkah ini dengan bertatih,
semoga aku akan terus sabar menanti,
menulislah wahai diri,
teruskan menulis,
kerana setiap tulisanmu merupakan peringatan buat dirimu sendiri..

Carilah segala wasilah yang mendekatkan dirimu dengan Pencipta. Semoga ini bernilai di sisi MU, Rabbku.